Tuesday, March 22, 2011

Luahan pagi-pagi buta

Salam kepada semua.

Hari ini hari Selasa, tanggal 22 Mac 2011. Sewaktu aku menaip entri, jam menunjukkan pukul 02:06 AM. Ya, masih pagi lagi. Aku masih tak dapat melelapkan mata. Bagi mengelakkan kebosanan, aku membuka laman sesawang 'lelong', begitulah rutin harianku ketika kebosanan. Sekurang-kurangnya aku dapat menghayati setiap 1 rekabentuk jam-jam G-Shock keluaran Casio itu.

Kebosanan masih lagi melanda diri. Aku teruskan juga dengan aktiviti mencuci mata melihat model-model jam. Ha, ada 1 perkara pelik yang berlaku pada masyarakat kita ni. Ok, bayangkanlah, ada produk yang dikeluarkan secara terhad, dengan harga, misal kata RM500. Lama kelamaan orang yang memiliki produk ini ingin menjualnya dengan harga yang boleh menjejaki hampir 4 kali ganda harga asal. Aku ini bukanlah berilmu tinggi, dan sebab itu wujudnya kemusykilan dalam diriku, bolehkah perkara seperti itu dilakukan? Tetapi sebagai seorang muslim, aku terdorong untuk mendapatkan jawapan bagi permasalahan ini. Adakah ianya dinamakan riba'? Oh, aku ini cetek ilmunya, sesiapa yang mempunyai jawapan bernas, boleh berkongsi denganku. Anda sangat-sangat dipersilakan. :)

Oh ya, petang semalam (21 Mac 2011) aku ke bangunan HEP untuk bertanyakan mengenai insurans pelajar. Aku ingin mendapatkan jawapan kepada hak pelajar menuntut insurans jika sesuatu musibah terjadi. Aku cuba mengaitkan insurans itu dengan musibah yang dialami oleh aku pada hampir 2 tahun lepas. Jawapannya, disebabkan kes aku telah berlalu lama, aku tidak layak untuk menuntut insurans itu. Had masa yang ditetapkan adalah 1 tahun dari masa musibah. Mungkin bukan rezeki aku untuk mendapatkan insurans itu. Bercakap juga mengenai insurans ini, sudah hampir 2 tahun lebih, namun aku masih belum menerima bayaran insurans. Terlalu lama masa yang diambil untuk menyelesaikan kes aku. Namun, aku masih boleh bersabar. Semoga, selepas mendapat insurans itu, aku dapat mengubah nasib aku. Mungkin aku akan membeli emas, ataupun mendaftar ASB di Maybank, mungkin aku ingin membuat pinjaman sebanyak RM100K dah diikat selama 15 tahun. Masih lagi dalam perancangan, insyaAllah semuanya akan terjadi jika adanya rezeki. 1 lagi perancangan masa depanku, untuk masa depan yang cerah. :)

Rasanya aku perlu tidur juga, jika tidak pasti aku akan mengantuk semasa di dalam kelas pagi nanti. Semoga kita berjumpa lagi di entri akan datang.


*Perlu mendapatkan seluar 'jeans' baru dan juga kasut baru. Takkan nak pakai sehelai 'jeans' saja? :)

Monday, March 21, 2011

Can mali can, bukannya macan.

Dimana dia anak kambing saya?
anak kambing saya yang makan daun talas
dimana dia buah hati saya?
buah hati saya bagai telur dikupas

Chan mali chan, chan mali chan
chan mali chan, ketipung payung

Di mana dia, anak kambing saya?
anak kambing saya main di tepi sawah
di mana dia, cinta hati saya?
cinta hati saya yang pakai baju merah

Di mana dia anak kambing tuan?
anak kambing tuan di atas jambatan
yang mana dia si bunga pujaan?
si bunga tanjung dihujung dahan

Kalau nak tahu anak kambing saya
anak kambing saya di dalam bilik
kalau nak tahu intan payung saya
intan payung saya yang kecil lah molek

Di mana dia anak kambing tuan?
anak kambing tuan yang bulunya kuning
yang mana dia buah hati tuan?
buah hati tuan yang putih lah kuning

*Sumber - Lirik Lagu Kanak-Kanak – Can Mali Can.

Thursday, March 17, 2011

Selamat ulangtahun hari jadi sayang

Salam kepada semua.

Aku kembali lagi untuk menaip entri istimewa pada hari ini. Tepat pula pada jam 00:00 pagi, pada tarikh 17 Mac 2011. Untuk insan tersebut, hari ini adalah hari kelahirannya ke muka bumi ini pada 23 tahun yang lalu iaitu 17 Mac 1988.

Baru siang tadi aku bertemu dengannya untuk meraikan hari jadinya dengan makan tengahari bersama-sama di 'Temptations Restaurant' di Hotel Renaissance. Pertama kali aku makan di hotel bersama-sama dengan yang teristimewa. Terima kasih kepada Mak Uteh kerana memberikan kami peluang ini. Atas tajaan beliaulah kami dapat merasai keenakan makanan di restoran tersebut. Makanan mereka, boleh tahan, sedap juga. Kami mengambil pelbagai jenis makanan yang enak-enak. Takut rasanya berada di restoran mahal seperti ini. Nak ambil banyak pun rasa takut, maklumlah, dengan berpakaian biasa saja, bukan etika berpakaian seorang 'VVIP' mahupun 'VIP'. Jadi, rasa malu itu tetap wujud di dalam hati. :)

Kami mengambil makanan, dan makan sehingga habis. Kemudian, si dia mengambil pula aiskrim dan juga roti + 'marshmallow' + buah anggur bersalutkan coklat, dan juga sedikit pati buah strawberi. Semuanya enak. Oh, terlupa saya. Pada saat si dia mengambil makanan, seorang staf restoran telah datang kepada aku dan memberi kad untuk diberikan kepada si dia. Amanah yang telah diberikan oleh Mak Uteh kepada staf itu. Aku mengambilnya dan terus menyembunyikannya di dalam beg. Aku terus berlakon biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Ku perhatikan si dia, gelagatnya membuatkan hatiku sejuk.

Tiba saat yang dinanti, aku menghulurkan kad tersebut kepadanya. Dia terkejut, dan tersengih-sengih malu. Dengan tidak semena-mena terpasang lagu 'happy birthday' di dalam restoran tersebut. Aku katakan lagu tersebut untuknya, dia tidak percaya. Sampailah saat seorang staf datang membawa kek coklat siap dengan lilin ke arah si dia. Terkejut si dia. Aku dapat rasakan dia juga 'speechless'. Aku gembira melihat dia begitu. Walaupun hari jadinya jatuh pada hari ini, kami menyambutnya lebih awal, memandangkan aku perlu pulang ke kampung halaman pada pagi hari ini. Kemudian, ada seorang abang yang makan di sebelah kami menawarkan diri untuk mengambil gambar kami berdua. Baik hati juga abang sebelah kami ni. Aku juga rasa abang tersebut tidak menjangkakan perkara tersebut bakal berlaku, maklumlah, pada saat makan tengahari pula tu. Namun segalanya telah berlaku bukan, maka haruslah berasa gembira. Yeah!

Akan aku muat naik beberapa gambar yang sempat diambil. Biarkan gambar-gambar tersebut berbicara.











Tuesday, March 15, 2011

Selamat bertunang

Salam kepada semua.

Tahniah diucapkan kepada Along di atas pertunangan beliau dengan pasangannya iaitu Siti Syazwani. Tahun ini Along dah berumur 25 tahun, sesuai kiranya jika beliau mengikat tali pertunangan. Jika ada rezeki, bila-bila masa saja boleh melangsungkan pernikahan. Semoga Along sentiasa dimurahkan rezeki.

Majlis yang berlangsung pada hari Ahad lepas (13 Mac 2011) sangat meriah. Walaupun sekadar pertunangan, ramai saudaraku pulang ke kampung halaman untuk meraikan pertunangan Along. Aku juga berasa sangat terkejut. Begitu ramai yang pulang, sangat tidak ku sangka. Keadaan seperti itu seumpama majlis perkahwinan bagi Along walaupun pada dasarnya hanya majlis pertunangan.

Aku bersyukur di atas majlis sebegini, kami sekeluarga dapat berkumpul beramai-ramai, seolah-olah jika arwah datukku masih hidup. Keadaan yang meriah seumpama hari raya. Hampir 3 tahun aku tidak merasakan perasaan sebegini. Alhamdulillah.

Aku pulang ke kampung halaman bersama-sama teman wanitaku iaitu Nur Hazwani dan juga sahabatku yang ditugaskan sebagai jurugambar majlis iaitu Hafizul Mahput. Kami pulang menaiki bas Transnasional dari Shah Alam seawal jam 09:00 pagi. Setibanya di Batu Pahat, Along menjemput kami di bandar dengan menaiki kereta.

Pada malamnya pula, kami sempat ke bandar untuk minum-minum dan juga melayari laman sesawang. Berjumpa pula dengan sahabat lama yang baru 3 bulan melangsungkan perkahwinan. Kami rancak berborak dan bersenda gurau sehingga hampir jam 00:00 pagi. Ku lihat Along tenang saja, maklumlah, majlis pertunangan saja. Tapi, apa yang dirasai di hati beliau, tak siapa yang tahu.

Sesudah bertunang, pasti akan menyusul pula majlis pernikahan jika ada rezeki. Dan pada saat itu, akan bermulalah kehidupan Along sebagai suami orang. Dan aku akan mengambil alih peranan yang di bawa Along sebelum-sebelum ini. Aku akan pastikan keluargaku menjalani kehidupan dengan bahagia, dan aku tak mahu mereka bersusah payah memikirkan masalah kewangan yang tak sudah-sudah. Semoga kerjaya masa depanku dapat memberi kesenangan terhadap mereka semua.

Oh, tersasul jauh dari tajuk cerita. Kesimpulannya di sini, tahniah kepada Along. Dan jangan risau, aku ada keupayaan untuk membela keluarga kita di masa hadapan. :)

Entri ini pendek, disebabkan aku berada dalam keadaan yang memerlukan otak aku berfikir banyak. Begitu banyak tugasan perlu disiapkan. Tapi tak mengapa, buat perlahan-perlahan.

Berjumpa lagi di entri akan datang, insyaAllah.

Aku, Wani, Hafizul, Along, Ana, Nizam.

Sunday, March 6, 2011

Bulan Mac 2011

Salam kepada semua.

Baru hari ini terpanggil untuk membuat entri baru. Bukan tak pernah terfikir untuk membuat entri, cuma tak mempunyai perasaan yang betul-betul boleh membuatkan aku bersemangat menaip papan-papan kekunci ini. Tapi hari ini, aku ada sebab untuk menulis.

Telah masuk bulan Mac 2011. Seperti biasa, bulan Februari memang singkat, cuma 28 hari. Jika bernasib baik, dapatlah 29 hari. Aku, macam biasa haruslah mengorek duit di bank pada awal-awal bulan ni. Orang bergelar penyewa memang begini. Selagi mampu, korek je, janji ada duit dalam bank.

Bulan Mac ini pastinya penuh dengan aktiviti. Baru semalam aku melakarkan pemulaan aktiviti bersama teman wanitaku. Kami menonton wayang 'The Mechanic' di Jusco Bukit Raja seawal jam 11:30 pagi. Seingat aku, aku tak pernah menonton wayang pada awal-awal waktu sebegini. Oh, seperti biasa, mestilah kami memilih 'couple seat'. Yang peliknya, harga tiket hanya RM10, 'couple seat' pula tu. Hehehe... :)

Ok, aku rasa lebih baik aku senaraikan beberapa tarikh penting pada bulan Mac ini.

08 Mac - 'Theoretical Test CAD'
13 Mac - Majlis pertunangan Along
13 Mac - Ulangtahun hari jadi Kila ke-21
15 Mac - Ulangtahun hari jadi Hidayah (SKSS) ke-23
16 Mac - 'Lunch' di Hotel Renaissance
17 Mac - Ulangtahun hari jadi Nur Hazwani (Teman wanitaku) ke-23
23 Mac - Ulangtahun hari jadi Siti Surina ke-21
23 Mac - Ulangtahun hari jadi Farhana (Adik bongsu) ke-15
26 Mac - Parti hari jadi sempena ulangtahun hari jadi

Buat masa ini, itu saja yang dapat disenaraikan. Ada saja aktiviti yang aku perlu penuhi buat masa ini. Syukurlah, daripada aku duduk diam tak berbuat apa-apa. :)

Senarai akan dikemaskini dari semasa ke semasa. :)

Begitu banyak yang aku fikirkan sehingga tak terkeluar apa yang ingin aku kongsikan bersama di blog ini. Kan bagus jika aku mempunyai sebuah telefon bimbit yang mempunyai kelebihan untuk melakukan 'Live Blogging', secara terus menerus aku boleh berkongsi sesuatu yang aku alami.

Bercakap mengenai telefon bimbit pelbagai fungsi, aku terfikirkan mengenai iPhone 4. Jika mempunyai rezeki, aku mungkin akan mendapatkannya. iPhone 4 menjadi pilihan kerana fungsinya yang pelbagai, dan semestinya setara dengan harganya yang tinggi itu. Maka, aku perlu memilih dengan bijak. Untuk melihat spesifikasi yang dimiliki oleh iPhone 4 ini, boleh kilik di sini dan sini. Berdoa saja agar impian ini akan menjadi kenyataan. Amin.

Apple iPhone 4


*Terasa seperti ingin menjual 'netbook' jenama Dell milik aku. :(