Wednesday, April 6, 2011

Perasaan kehilangan itu sangat menyakitkan

Salam kepada semua.

19 April 1923 - 05 April 2011
02 Ramadhan 1341H - 01 Jamadil Awal 1432H

Aku mendapat panggilan telefon dari emak semasa waktu kelas, hati ini jadi tak keruan. Apa yang disangka akan terjadi telah berlaku.

Arwah telah meninggalkan kami untuk selama-lamanya pada usia 88 tahun. Perasaan kehilangan ini sangat menyakitkan hati. Hati serba pilu dan sebak.

Semasa hayatnya, arwah adalah satu-satunya nenekku yang masih hidup. Kini, aku sudah tidak mempunyai datuk dan nenek di kedua-dua belah keluarga.

Masih terkenang-kenang lagi waktu aku ingin pulang ke Shah Alam pada hari Ahad lepas, aku sempat mencium kedua-dua pipi dan juga dahi arwah. Ketika itu, bergenang air mata menahan kesedihan melihatnya terlantar. Itu kali terakhir aku mendengar suaranya menyahut panggilanku. Tapi seruanku itu tidak sekuat seruan Allah S.W.T. memanggilnya ke alam barzakh.

Itu satu-satunya jalan terbaik bagi arwah, kami yang hidup berasa seksa melihatnya terlantar lemah, tidak makan, hanya minum, masakan boleh tahan lama lagi? Semoga dengan kembalinya arwah ke Rahmatullah ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan seksa arwah di dunia. Kami yang masih hidup akan sentiasa mendoakannya.

Sesudahnya kelas semalam, aku pulang ke rumah dan tekad meminjam motor rakan serumah untuk pulang ke Simpang Renggam. Kemudian, plan berubah dan aku ke Sungai Besi untuk menaiki kereta bersama abang saudaraku. Kami bertolak pada sekitar jam 03:00 petang dan tiba di perkarangan surau tempat jenazah di sembahyangkan pada jam 05:15 petang. Aku terkilan kerana tak sempat melaksanakan tanggungjawab sebagai cucu dengan bersama-sama bersolat jenazah. Namun, aku dapat mengiringi van jenazah ke tanah perkuburan. Selesai menanam jenazah, kami beramai-ramai membaca talkin dan mendoakan jenazah. Setelah selesai dan orang ramai pulang ke rumah, aku melihat Pak Usu aku duduk di pusara arwah. Ku lihat Pak Usu menangis seolah-olah tak dapat menerima pemergian arwah. Kemudian, mataku turut bergenang air mata melihat keadaan itu. Sesungguhnya, perit sungguh perasaan kehilangan ini, orang yang paling disayangi hilang di pandangan mata kasar.

Malam itu, majlis tahlil diadakan di rumah Mak Ngah di Simpang Renggam. Kemudian, perbincangan di antara adik-beradik emak. Selesai semua itu, aku berangkat pulang ke Sungai Besi, dan tiba di Shah Alam pada jam 05:30 pagi dengan menaiki motor. Sempat juga aku membaca surah Yassiin selepas solat Subuh. Semoga arwah menerima pahala dari bacaanku. Semoga roh nya aman di sana.

Gambar bersama arwah nyayi pada bulan Jun tahun 2010. Kenangan bersamanya.
Pusara arwah nyayi.

Thursday, March 31, 2011

Penghujung bulan Mac 2011

Salam kepada semua.

Alhamdulillah syukur, akhirnya sudah sampai ke penghujung bulan Mac. Begitu banyak perkara dan juga program yang berlaku sepanjang bulan Mac ini. Aktiviti-aktiviti yang berjalan adalah seperti yang pernah aku senaraikan di entri pada 06 Mac 2011 yang lalu, iaitu entri bertajuk 'Bulan Mac 2011'.

Setakat ini, semuanya baik-baik saja. InsyaAllah, memandangkan sebenarnya belum cukup syarat bulan Mac ni betul-betul sudah berlalu, ada 1 hari lagi iaitu hari ini, 31 Mac 2011. Semoga segala-galanya berjalan baik saja pada hari ini. :)

Di bulan Mac ini, aku melalui pelbagai pengalaman berbeza. Sebagai contoh, pertama kali aku mengalami perasaan menghantar rombongan pertunangan. Maklumlah, aku hanya mempunyai seorang abang, dan dia lah yang pertama sekali dalam adik-beradikku yang akan melangsungkan majlis dulu. Giliran aku mungkin lambat lagi, lihat pada rezeki di masa hadapan nanti.

Kemudian, pertama kali makan tengahari di hotel. Aku makan di hotel ini dengan tajaan mak cik teman wanitaku, sempena dengan ulangtahun hari jadi teman wanitaku. Perasaan ketika itu begitu lain, sudah tentulah perasaan janggal itu menjelma dalam diri. Aku tak biasa makan di hotel. Kata orang, 'Berpijak di bumi yang nyata'. Aku pegang maksud peribahasa ini dalam diri. Satu hari nanti, mungkin bila sudah senang, bila rezeki sudah melimpah ruah, baru boleh difikir-fikirkan sama ada untuk makan di hotel setiap masa. :P

Baik! Cukuplah merepek di situ.

Kemudian, satu lagi perkara yang tidak dilupakan, dan rasanya lebih tepat jika guna 'jangan dilupakan' adalah ulangtahun hari jadi adik bongsu aku, iaitu Farah Farhana atau lebih mudah dikenali dengan panggilan 'Nana'. Tahun ini dia sudah berumur 15 tahun, tahun PMR untuk dia. Sebelum aku pulang ke Shah Alam, aku sudah membelikan hadiah untuk dia. Hadiah tersebut telah disimpan oleh Kak Wani sebelum diserahkan kepada Nana. Semoga dia menghargai hadiah yang tak seberapa itu dariku. Oh, seperkara lagi, sambutan ulangtahun kelahiran yang ke-21 bagi adik teman wanitaku, iaitu Siti Surina. Aku sertakan sekali dengan pautan ke blog beliau. Selamat datang ke dalam alam 'blogging' diucapkan. :)

Kebelakangan ini, aku sudah mula bermain permainan lazim bagi pelajar-pelajar universiti hatta sekolah, iaitu 'DOTA'. Permainan ini sudah klise dan seringkali dikaitkan dengan hidup golongan siswazah. Aku bermain permainan ini untuk mengisi masa lapang, sambil mengurangkan tekanan yang dihadapi ketika belajar dan mengulangkaji. Mungkin ini juga alasan aku untuk mengurangkan bengang terhadap liputan talian telekomunikasi yang teruk iaitu 'Maxis' di kawasan rumahku. Untuk pegetahuan semua, rumah sewa aku adalah di Shah Alam, bukan di ceruk-ceruk hutan. Sangat tak berakal jika mereka tidak menyediakan liputan yang lebih baik di sini, bandaraya Shah Alam? Pemasaran dan respon pelanggan itu penting, sila ambil perhatian! Oh, mereka tak mungkin membaca entri ini, abaikan. :P

Kasihan teman wanitaku, setiap kali dia menelefonku, sudah pasti akan di jawab dengan suara 'voicemail' yang tak berapa nak lunak tu. *Konon-konon ambil beratlah ni, :P*

Dan seperti yang kita ketahui, penghujung bulan Mac adalah permulaan untuk awal bulan berikutnya iaitu bulan April. Ada sesuatu yang begitu istimewa bagiku di bulan April pada setiap tahun. Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan adanya bulan April ini. :)

Err, awal bulan ni maksudnya kena bayar duit sewa kan?

Wednesday, March 30, 2011

Ujian Lisan Bahasa Jepun

Salam kepada semua.

Hari ini, 30 Mac 2011, aku akan menjalani ujian lisan Bahasa Jepun. Disebabkan hal itu, aku bersengkang mata sehingga saat aku menaip entri ini untuk menyiapkan 3 ayat yang diperlukan untuk ujian tersebut. Berikut merupakan ayat yang menjadi taruhan bagiku esok. Harap-harap segalanya akan berjalan lancar. :)

Bab 11|
Watashi wa atarashii megane o kaitai desu.
私は新しいめがねを買いたいです。

Bab 12|
Kinō asa gohan wo tabete, sentaku o shite, toshokan e ikimashita.
昨日朝ご飯を食べて、洗濯をして、図書館へ行きました。

Bab 13|
Watashi no kazoku wa Batu Pahat ni sunde imasu.
私の家族はBatu Pahat に住んでいます。

Baiklah, selesai 1 masalah, sekarang bermulanya proses menghafal dan juga ulangkaji. :)
Sama-sama kita berdoa agar rakyat Jepun bersabar menghadapi dugaan yang diterima akibat bencana alam baru-baru ini. :)

Selamat malam semua.

*Kemaskini
Disebabkan 3 ayat yang dibuat perlulah berbentuk cerita, aku terpaksa mengolah semula ayat-ayat tersebut, dengan kata lain, membuat ayat baru di meja ujian lisan tersebut. Tak menggelabah sangat sebab ada rakanku yang akan memulakan ujian tersebut dulu. Berikut merupakan ayat-ayat baru tersebut.

Bab 11|
Watashi wa Nihon-Go ga suki desu. Watashi wa Nihon e ikitai desu.
私は日本語が好きです。私は日本へ行きたいです。

Bab 12|
Mai nichi asa gohan o tabete, Nihon-Go o benkyō o shite, renshū o shimasu.
毎日朝ご飯を食べて、日本語を勉強をして、練習をします。

Bab 13|
Watashi wa takusan anime o mite imasu.
私は沢山アニメを見ています。

Thursday, March 24, 2011

Balas budi

Salam kepada semua.

Kebelakangan ini, aku agak menyukai lagu dendangan Dr.Dre , Eminem dan juga Skylar Grey iaitu 'I Need A Doctor'. Aku menyukai melodi lagu ini, dan juga gaya nyanyian mereka. Seperti biasa, jika aku mendengar lagu, pasti aku akan mencari juga lirik lagu tersebut di internet. Lirik lagu ini sangat mendalam, mempunyai maksud yang betul-betul menikam jiwa. Ini pandangan aku, mungkin tidak begitu bermakna bagi orang lain. Biasalah, lain orang, lain ragamnya.

Bagi yang mengikuti perkembangan mereka, pasti akan tahu sejarah di antara Dr.Dre dan juga Eminem. Mereka ini merupakan sahabat yang agak baik. Persahabatan mereka sangat rapat. Di dalam video lagu ini, digambarkan bahawa Dr.Dre terlibat dalam kemalangan dan koma untuk tempoh masa yang lama. Semasa koma, Eminem kelihatan sangat rungsing. Dia seolah-olah hilang arah dan sedih dengan keadaan Dr.Dre yang dianggapnya sebagai mentor yang banyak menolong dia di kala kesusahan.

Bagi yang ingin mendengar lagu ini, boleh klik di pautan berikut :
Dr.Dre - I Need A Doctor (Explicit) ft. Eminem, Skylar Grey 

Lirik untuk lagu ini boleh dilihat di pautan ini :
Dr.Dre: I Need A Doctor Lyrics

Setelah banyak kali mendengar lagu ini, aku sedar persahabatan mereka sangat rapat. Eminem bukanlah seorang yang lupa diri. Dia sangat menghargai erti persahabatannya dengan Dr.Dre. Begitu juga dengan Dr.Dre yang sangat menghargai persahabatannya dengan mendiang Easy E yang telah lama meninggalkan mereka.

Kesimpulannya di sini, jika ada orang yang banyak menolong kita, janganlah sekali-kali melupakan jasa mereka. Walaupun sekecil mana pun jasa mereka, hargailah mereka.

50 cent, Eminem, Dr.Dre

Wednesday, March 23, 2011

Urusan dengan Pos Malaysia

Salam kepada semua.

Selamat pagi dan selamat hari Rabu. Seperti biasa, hari Rabu adalah hari bagiku merehatkan diri sepanjang hari. Tiada kelas, tiada makmal. Sepatutnya aku perlu berehat, tapi memandangkan ada beberapa perkara perlu aku uruskan dengan Pos Malaysia, aku terpaksakan membekukan rancangan berehat dan santai itu.

Ha, apa dia urusan aku dengan Pos Malaysia ni? Nampak macam projek besar tak?



Tiada apa-apa yang istimewa, tiada projek besar, hanya projek kecil-kecilan sahaja. Tujuan ke pejabat pos nanti adalah untuk mengepos surat serta barang kepada 2 orang kenalan di Johor. Pertamanya, aku perlu mengepos 'Borang Tuntutan Tabung Kecemasan'. Salah seorang rakanku meminta pertolongan berkaitan dengan insurans UiTM, maka ini adalah salah 1 dari prosedur permohonan. Isi borang ini serta hantar beberapa salinan yang berkaitan dengan pengesahan doktor, pengesahan praktikal dan juga salinan akaun Bank Islam. Kemudian, rakanku ini harus menghantar borang dan salinan-salinan yang tersebut kepadaku kembali untuk urusan penyerahan ke pejabat HEP.

Perkara kedua pula, aku perlu mengepos barang kepada rakan yang baru dikenali di 'Facebook'. Dia ini penjual jam di 'Facebook'. Disebabkan aku ini suka melihat-lihat jam, aku telah menambah dia sebagai rakan di 'Facebook'. Dia telah meminta pertolonganku untuk mendapatkan jam tangan 'G-Shock' edisi terhad yang dijayakan bersama oleh 'G-Shock' dan kumpulan bola lisut professional di Jepun iaitu 'Hiroshima Toyo Carp'. Senang cerita, jam tangan ini adalah edisi 'Hiroshima Toyo Carp x G-Shock'. Model ini menggunakan model asas DW-6900. Sedikit sentuhan kolaborasi menjadikan jam tangan ini kelihatan sangat menarik, dan berbaloi jika dijadikan koleksi. Di bawah ini adalah gambar yang boleh didapati di 'internet' dengan mudah.


Di bawah ini pula adalah jam yang telah aku terima semalam dari rakanku di Muar (beliau balik bercuti sementara dan akan pulang semula ke Jepun).


Menarik bukan jam ini? Tapi sudah terlambat untuk aku memilikinya, sesungguhnya ini adalah milik rakan aku. Tapi tidak mengapa, janji punyai jam, boleh melihat masa, itu sudah memadai. Jika ada nilai tambah yang lain seperti tahan lasak, jangka hayat bateri yang lama, itu lebih baik. Kriteria seperti itu yang diperlukan dalam pemilihan jam tangan. :)

Keluar topik sedikit. Semalam aku menerima beberapa barang yang aku kirim juga dengan rakanku yang belajar di jepun itu. Barang ini sangatlah terhad, dan aku tak akan menjualnya seperti dulu. Jika dulu aku menjualnya kerana mudah didapati, tetapi kini tidak lagi. Benda-benda yang terhad ini tidak seharusnya dilepaskan dari genggaman dengan mudah. Bukan mudah untuk mendapatkannya. Sesungguhnya aku ini memang bernasib baik. Alhamdulillah.

'Scotch  Female Caps' - Umpama nyawa dan nadi bagi para 'graffiti writer' di Malaysia. :)
Jadi, sekarang ingin juga berehat seminit dua. Sebentar lagi bangkit untuk melakukan kerja. Sehingga kita bertemu lagi di lembaran entri yang akan dibentangkan pada masa hadapan.

Oh ya, mulakan hari anda dengan senyuman. 

'Senyum, tak perlu kata apa-apa' - Malique.

*Menjadi insan yang baik.