Wednesday, June 1, 2011

Barang yang lepas jangan dikenang


Salam kepada semua.

Memang sudah menjadi kebiasaan jika aku dapat membuat entri baru, pasti akan berasa syukur. Kenapa syukur? Syukur kerana masih diberi peluang untuk merasai pengalaman hidup di bumi yang indah ini. Syukur kerana masih boleh berbakti di muka bumi ini, masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah juga.

Seperti yang kita tahu, dunia ini fana. Dunia ini hanya tempat persinggahan sementara untuk kita sebagai hamba Allah S.W.T. Tiada yang kekal di bumi ini.

Mengenangkan pepatah seperti di tajuk entri ini, kita seharusnya sedar, perkara yang sudah lepas itu takkan mungkin akan berulang. Jadi, tiada gunanya untuk mengenang perkara tersebut bagi tempoh masa yang lama.

Minggu lepas, satu perkara buruk telah terjadi kepada teman wanitaku dan juga adiknya. Mereka telah ditipu oleh seorang penyangak lelaki, dan mereka juga telah kehilangan 4 buah telefon bimbit dalam kejadian tersebut. Setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya. Melalui peristiwa tersebut, kita seharusnya sedar yang dunia sekarang ini penuh dengan tipu daya. Kita tidak seharusnya dengan mudah mempercayai seseorang yang tidak dikenali. Kita juga sepatutnya lebih peka dengan keadaan sekeliling sekarang yang semakin mencabar. Ya, dunia sekarang semakin mencabar.

Kepada mereka berdua, diharap dapat bersabar dengan kejadian itu, dan banyak-banyak bemuhasabah dan mengambil iktibar dari kejadian tersebut. Begitu juga dengan anda semua, pastikan anda semua peka dengan keadaan sekeliling.

Kejadian kehilangan telefon bimbit ini pernah berlaku juga padaku, iaitu pada hujung tahun 2008, semasa di tahun pertama ijazah sarjana muda. Ketika itu sudah masuk minggu peperiksaan akhir semester. Akibat kecuaian rakan bilikku yang terlupa untuk mengunci pintu bilik kami menyebabkan dua buah telefon bimbit kami dicuri pada awal pagi. Jadi, pada sesiapa yang mempunyai rakan-rakan rumah atau sebilik, sentiasa nasihatkan rakan anda agar tidak cuai. Lebih-lebih lagi di minggu peperiksaan akhir, kerana kejadian seperti ini selalunya berlaku pada masa itu kerana pelajar menjadi sibuk dan sentiasa tidak peka dek kesibukan itu.

Sekali lagi diingatkan, perkara lepas tak usah dikenang, hanya ambil iktibar dari setiap yang berlaku. Masa itu emas, masa itu tak boleh di undur. Hargai masa anda kerana hidup di dunia hanya sementara.