Saturday, November 17, 2012

Amar Makruf & Nahi Mungkar

Salam.

Apa itu yang dimaksudkan dengan amar makruf? Dan apa itu nahi mungkar?

Secara lazimnya, amar makruf ini adalah menyuruh melakukan kebaikan, serta mengamalkannya.
Nahi mungkar pula mencegah dari melakukan sebarang kemungkaran.

Zaman sekarang ni, ianya seolah-olah terbalik. Lebih ramai yang memilih untuk 'amar mungkar' serta 'nahi makruf'. Maksudnya lebih ramai yang menyokong kemungkaran, dan lebih ramai yang suka menentang kebaikan.

Anda di pihak yang mana?

Tepuk dada tanya iman.

Inilah dia akhir zaman yang mana segalanya akan menjadi terbalik. Kebenaran menjadi fitnah, dan fitnah menjadi kebenaran.

Untuk melaksanakan amar makruf, kita tak perlu menjadi sempurna. Tiada manusia yang sempurna yang pernah hidup di dunia ini melainkan junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.. Cukuplah sekadar sentiasa mengamalkan perintah-Nya. Untuk menjadi seorang yang berilmu itu memerlukan masa yang panjang.

Jika anda ternampak kemungkaran, tegurlah dengan niat untuk mencegahnya menjadi lebih parah. Zaman sekarang ini, manusia lebih selesa dengan tanggapan 'jangan jaga tepi kain orang', bermaksud jangan cuba masuk campur urusan orang lain walaupun niat kita itu baik dan mulia.

Aku pernah mencuba untuk melakukan nahi mungkar ini, tetapi telah disalahertikan oleh sesetengah pihak.

Ya Allah, aku berharap Engkau akan sentiasa menetapkan hati ini untuk lebih istiqamah dalam melaksanakan perintah-Mu. Amin.

Semoga Allah merahmati mereka. Amin.

Air mata menitis memikirkan mereka.

. . . . . . . . . . . . . . . . . .

:(

Monday, November 5, 2012

Monday Blues

Salam.

Macam biasa, hari Isnin memang macam ni. Hari Isnin ni adalah hari paling sibuk untuk aku setelah berehat dari hari Jumaat. Bila tiba hari Jumaat je, hati aku akan bersorak riang, dan dalam masa yang sama aku mencongak-congak dan merancang penggunaan masa dengan baik. Tapi bila tiba hari Isnin, kesudahannya tetap sama. Kerja bertangguh semakin banyak. Tiada anjakan langsung.

Minggu setelah naik cuti seminggu ni memang 'thrill', masing-masing kena bersedia menghadap rakan karib dari pagi sampai lah ke malam. Oh memang begitu kan bila dengan rakan karib?Hahaha..

Ok, ulangkaji dan juga kerja rumah. Mesti berlambak-lambak perkara perlu disiapkan dalam satu masa. Bila sedar dari angan, baru tahu kita ni sebenarnya bukan adiwira yang boleh buat banyak perkara dalam satu masa. Begitulah realitinya.

Konklusinya, pagi ini aku makan kismis dan coklat minda. Minum 'nescafe 3 in 1' juga. Satu kombinasi yang 'failed' untuk seorang pelajar. Cerita ni tiada kaitan dengan entri ni, saja je nak kongsi diet pagi. :p

Dah malas nak membebel, kelas pun 'cancel' ni, jadi nak merayap keluar UiTM kejap, cari santapan untuk sarapan pagi. Makan coklat dengan kismis tak cukup mengenyangkan.

Adios amigos.

Salam.

p/s :- Taip entri guna apps 'BLOGGER' dalam iPhone ni buat aku salah taip dengan kekerapan yang tinggi. Duh.

Friday, October 26, 2012

Sujudlah Dengan Sempurna!!


Salam kepada semua.

Alhamdulillah, syukur pada Allah S.W.T. kerana masih diberi peluang untuk hidup dan merasakan segala nikmat-Nya. Dan bersyukur juga kerana aku akhirnya diberikan peluang untuk menulis di blog ini.

Entri kali ini berupakan perkongsian mengenai solat. Cara untuk menghalusi solat supaya lebih sempurna. Diharapkan dapatlah kiranya mengambil iktibar dari perkongsian ini. InsyaAllah.

Tuesday, July 24, 2012

Salam Ramadhan 1433H

Assalamualaikum pembuka bicara.

Alhamdulillah, ada sedikit kelapangan di pagi ini sebelum sibuk di petang hari.

Hari ini hari ke-empat kita berpuasa di Bulan Ramadhan 1433H. Pagi yang tenang.

Ramadhan kali ini sedikit berbeza. Hari-hariku lebih produktif berbanding Ramadhan yang telah berlalu.

Di Ramadhan kali ini, aku mengambil peluang untuk berniaga menjual air buah di Bazar Ramadhan. Aku menjalankan perniagaan bersama seorang lagi sahabatku yang banyak membantu dalam urusan penyediaan air. Berniaga di bawah cahaya panas terik mentari dan di bulan puasa ini betul-betul menguji keimanan diri. Tekak menjadi haus. Peluh keringat membasahi badan menyebabkan badan kehilangan air yang banyak.

Namun itu semua harus diharungi demi mencari rezeki ini. Dan insyaAllah aku akan berterusan menguatkan keimanan dalam diri ini menghadapi dugaan-dugaan ini. Baru terasa kemanisannya menjalankan tanggungjawab berserta sedikit cabaran. Dan begitu juga terasa indah kemanisan iman itu. :)

Sebelum terlewat, aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak, dan Selamat Berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang lebih baik dari sebelumnya, insyaAllah.

*Tiba-tiba rindu dengan ukhwah persahabatn dengan rakan-rakan JAD.

Wednesday, July 11, 2012

Menjadi diriku

Salam kepada semua.

Tak ramai orang dalam dunia ini yang suka menjadi diri mereka. Kebanyakan mereka adalah acuan dari pelbagai pengalaman hidup. Aku juga begitu. Tetapi aku yakin acuan yang aku terima ini lebih banyak kebaikannya dari keburukannya.

Terlintas di fikiranku tentang kedua-dua orang tua ku. Aku tak pernah langsung mengucapkan selamat hari bapa dan selamat hari ibu kepada mereka. Dan aku juga yakin yang aku tak akan menyebutnya sampai bila-bila pun. Aku menyayangi mereka bukan hanya pada satu hari yang ditetapkan dalam kalender setiap tahun itu. Paling tidak pun, aku akan mengucapkan selamat hari lahir di ulangtahun kelahiran mereka.

Ayahku lahir pada 10 Januari, manakala emak pula lahir pada 5 Ogos.

Aku harap dengan sikapku yang sedemikian akan membentuk aku menjadi seseorang yang lebih kental dan tekad dalam setiap keputusanku. Semoga aku sentiasa berada di landasan yang betul dan ditetapkan hatiku. Aku harap dapat sentiasa menjadi diriku.

Aku pun tak tahu kenapa boleh terfikir untuk membuat entri begini. Jadi, anggaplah ini semua hanya sekadar luahan spontan dari pemikiranku.

Saya sayang mak dan ayah. :)

Ayah & Mak


 *Melly Goeslow & Andhika Pratama - Butterfly.

Monday, June 25, 2012

Antara Marigold dan Drinho

Salam kepada semua.

Seusai dari ujian untuk subjek 'Fluid Mechanics' tadi, aku bergegas ke pejabat pos untuk menghidupkan lesenku yang telah mati selama 5 hari. Tempoh lesen baruku adalah selama hampir 2 tahun setengah bermulanya dari hari ini iaitu 25 Jun 2012 sehingga 12 April 2015. Peraturan baru jika memperbaharui lesen, tarikh tamat lesen itu akan ditetapkan pada tanggal kelahiran pemilik lesen tersebut. Bayaran yang perlu aku bayar adalah sebanyak RM52.

Kemudian, aku ke Plaza Alam Sentral untuk mengambil 'Stamp' di sebuah kedai di situ untuk seorang sahabat. Sewaktu perjalanan pulang, aku terfikir untuk membeli air kotak secara pukal iaitu 6 kotak sekaligus. Jadi, untuk penjimatan terhebat, aku berhenti di kedai MyMydin berdekatan tasik Seksyen 7 Shah Alam. Air susu 'Dutch lady' sudah tiada stok, jadi aku memutuskan untuk membeli air 'mango' dari dua pengeluar berbeza iaitu 'Marigold' dan juga 'Drinho'. Berikut adalah sedikit sebanyak mengenai kedua-dua produk.



(Marigold)

Saiz Hidangan : 250ml
Tenaga : 112kcal
Protein : 0g
Jumlah lemak : 0g
Karbohidrat : 28g
Jumlah gula : 23g
Vitamin C : 30mg
Harga (6 kotak) : RM4.30
_____________________

(Drinho)

Saiz Hidangan : 250ml
Tenaga : 113kcal
Protein : 0g
Jumlah lemak : 0g
Karbohidrat : 28.3g
Jumlah gula : 27.3g
Vitamin C : 0mg
Harga (6 kotak) : RM4.20
_____________________

Setelah dibuat perbandingan di antara kedua-dua produk, aku berpendapat bahawa air 'mango' keluaran 'Marigold' adalah lebih berkualiti dan mempunyai rasa 'mango' itu sendiri. Ini berlainan dengan air 'mango' keluaran 'Drinho' yang kurang rasa buah, malah rasanya hampir kosong seperti menggunakan air kordial. Walaupun harga 'Drinho' mahal sebanyak RM0.10, tetapi ianya sangat berbaloi untuk dibeli. Jadi pengguna yang bijak dan jimat. Pesanan ringkas dari saya penggemar air susu (ada kaitan ke? :P).


 Sekian laporan aku buat masa ini, ada lagi entri yang akan menyusul, kena susun-susun ayat dulu. :)

Thursday, June 14, 2012

Rumah sewa

Salam kepada semua.

Hari ini hari Khamis, bersamaan dengan 14 Jun 2012, dan aku tiada kelas pada hari ini. Ada sedikit masa terluang untuk aku menukilkan sedikit luahan dan juga pendapat.

 Hari ini aku ingin membicarakan sedikit tentang kehidupan di rumah sewaku. Apa yang akan aku ceritakan adalah berdasarkan pandangan dan persepsi aku, jadi hanya insan yang membaca blog aku sahaja yang akan mengetahui tentang perkara ini. Cukup lama aku menyimpan dan memendam perasaan ini.

Ok, pertama sekali, aku ingin membicarakan tentang hubungan di antara ahli rumah sewa. Ada yang ok, dan ada yang kurang ok. Yang ok ni adalah jenis yang mengambil berat tentang keadaan rumah sewa. Jadi, aku lebih cenderung untuk rapat kepada jenis yang seperti ini. Bagi yang buat tak tahu menahu tentang rumah sewa pula, memang aku tak rapat sangat. Aku hanya akan bertegur sapa bila ada hal sahaja. Di sini, aku lebih suka mendiamkan diri.

Kemudian, aku juga merupakan insan yang jarang duduk di rumah, jadi boleh disimpulkan bahawa penggunaan elektrik, dan air adalah sangat minimum bagi aku. Aku mempunyai komputer riba, dan aku hanya akan menghidupkannya jika ada kerja untuk dilakukan. Jika tiada sebab, aku tidak akan menghidupkannya dan membiarkannya mati demi menjimatkan penggunaan elektrik. Tetapi, ada ahli rumah yang menggunakan 'PC' atau pun komputer peribadi yang bersaiz besar dan semestinya menggunakan kadar elektrik yang tinggi. Malah, komputer tersebut selalunya tidak akan dimatikan dan dibiarkan hidup berterusan siang dan malam walaupun tidak digunakan. Lampu di bilik air pula tidak dimatikan setelah mereka selesai menggunakan bilik air. Lampu yang menyala tu akan menyebabkan penggunaan elektrik bertambah dengan sangat banyak.

Apa yang kurangnya pada mereka ini? Kurang kesedaran sivik atau kurang di ajar? Belajar dah cukup tinggi, dapat biasiswa, maksudnya dah cukup pandai, tetapi tidak cukup pandai dalam menjaga hubungan di antara ahli rumah. Aku rasa mereka ini tidak akan dapat 'survive' jika duduk di rumah berseorangan. Hanya kerana kami duduk beramai-ramai, golongan seperti ini mengambil kesempatan dengan menangguk di air yang keruh.

Di rumah aku di kampung, penggunaan elektrik adalah seperti berikut :

Pagi : Gosok baju
Tengahari : TV akan dibuka dari adik aku pulang ke rumah sampai ke pukul 12 malam
Petang : Basuh baju
Malam : Lampu akan dibuka dan akan ditutup jika semua orang telah tidur
Sepanjang masa : Kipas akan dibuka jika cuaca panas

Untuk semua ini, bayaran elektrik tidak melebihi RM120.

Bagaimana di rumah sewa aku bayarannya melebihi RM140?

Ingatlah rakan, jika kau berkelakuan begini sehingga tua, nescaya kau akan menyesal di kemudian hari kerana tidak memikirkan tentang masalah orang lain yang kesuntukan duit.

Huh.

Wednesday, June 13, 2012

Itu Ini Begitu Begini

 Mirwana & Altimet - Itu Ini Begitu Begini

(INTRO):

Kau membisik, Kau memanggil,
Cuba mengheretku ke ruang fantasi,
Bicaramu menggoda, Semua bagai indah,
Hanya madah sia-sia, Racun berbisa..

(CHORUS):

Itu ini begitu begini, Beza persepsi di sana-sini,
Cara dia dan cara mereka, Masing-masing punya citarasa,
Itu ini begitu begini, Gosip sensasi di sana-sini,
Kisah dia cerita mereka, Tak peduli benar atau dusta..

(VERSE 1)

Aku merenung ke luar tingkap
Memikirkan masa aku yang kian singkat
Merancang usaha aku yang perlu ditingkat
Terkenang masa lalu yang lebih ringkas.
Pesanan ringkas di alat komunikasi,
Bisik belakang lagi gosip sensasi
Dulu geli hati pernah ku minati
Yang dahulu manis kini aku rasa basi,
Bila diumpankan secebis umpatan,
Yang lebih penting lebih senang dilupakan,
Yang gangsa digilap  kita sangka emas,
Kaca dikejar yang berlian lekas terlepas
Nasi yang dikendong senang tercicir
Bila sibuk mengejar madu mengalir dari bibir
Yang dijual murah untuk beli sepah,
Hingga tubuh kebulur, dan rohani resah

(VERSE 2)

Satu masa dulu kita dua sejoli,
di antara hobi, bercerita di kedai kopi
Hingga pukul 2 3 4 5 pagi,
Malam tua tapi kita masih muda lagi
Gerak pantas mulut manis bila ada gadis,
Macam baju tukar laju biar mereka menangis,
Tak heran ada yang lain lain,
Kita saing bukan sukan hanya main main,
Bukan tempat aku untuk mencemuh mencaci,
Tapi aku bukan, lelaki itu lagi,
Kau ada hidup kau aku punya hal sendiri,
Lihat aku punya masjid indah yang terdiri,
Jauh sekali tempat aku mengadili,
Tapi aku harap kau pandai membawa diri,
Kalau jumpa diluar pasti bertegur sapa,
Jemput ke rumah aku kalau ada masa,

(BRIDGE):

Helah dan dusta punca sengketa,
Menghancurkan segala,
Bawa sengsara dan air mata.

Thursday, June 7, 2012

Belajar + Kerja

Salam kepada semua.

Alhamdulillah masih diberi keizinan untuk kita berjumpa lagi pada entri kali ini. Kesibukan dalam kehidupan betul-betul membataskan peluang untuk aku menukilkan sedikit sebanyak tentang perjalanan hidupku. Banyak perkara berlaku dan bukan semuanya mampu untuk aku terjemahkan ke dalam bentuk penulisan di blog ini.

Aku kini masih lagi bergelar seorang pelajar, walaupun dah enam tahun meninggalkan bangku sekolah, aku tetap belajar dan terus berusaha menuntut ilmu. Ilmu yang secangkir cuma nilainya jika dibandingkan dengan semua ilmu Allah S.W.T di dunia ini, memerlukan aku mengambil masa yang lama untuk dikhatamkan. Rakan-rakan yang masuk ke dalam UiTM bersama-sama aku kini hanya menanti untuk menamatkan pengajian mereka kerana semester ini adalah semester terakhir untuk mereka. Aku terpaksa menambah satu semester kerana telah bercuti satu semester akibat kecederaan yang dialami sebelum ini.

Aku bermuhasabah diri seketika. Rakan-rakan ada juga yang telah berkerja, ada yang sudah berkahwin. Aku masih di takuk lama, itu sebabnya kadang-kadang aku berasa rendah diri dah terasa kecil di pandangan mereka. Ok aku faham, itu semua hanya mainan perasaan aku. Tapi ini serius, sesungguhnya aku juga ada perasaan cemburu.

Ok, berbalik kepada kehidupan seorang pelajar, aku kini melakukan kerja sambilan sebagai pelayan katering. Kerja yang hanya dilakukan pada hari minggu, hanya sehari atau dua hari. Cukuplah hasil gaji itu untuk menampung makan minum aku untuk enam sehingga tujuh hari. Kita di dalam hidup ni tak boleh nak memilih kerja sangat, ada peluang baik dan halal, sambar saja. InsyaAllah akan dimurahkan rezeki jika niat kita itu ikhlas. Sehingga kini, aku telah tiga kali mengikuti kerja sambilan katering ini. InsyaAllah pada hari Sabtu ini akan ada lagi kerja untuk aku. Semoga dipermudahkan segalanya untuk aku dalam pencarian rezeki demi sesuap nasi.

Mm, niat nak mendirikan rumahtangga dah lama ada. Tapi yang sering merungsingkan aku adalah berkenaan soal pelajaran yang belum tamat dan juga persoalan kerja serta persoalan cepu emas yang sentiasa menjadi perdebatan di kalangan lelaki seperti aku iaitu, nilai hantaran. Ok, bila sebut pasal wang hantaran memang aku lemah. Nampak gaya aku terpaksa angkat kaki dulu.

Salam. :)

Thursday, May 17, 2012

Dompet baru

Salam kepada semua.

Kisah ini berkenaan dompet baru. Dompet baru yang aku baru terima sebulan dan 5 hari yang lepas. Dompet baru yang aku terima semasa ulangtahun kelahiranku yang ke-24.

Dompet baruku berjenama Leno.

Dompet baruku mempunyai zip di kelilingnya, sama seperti dompet lamaku.

Dompet baruku mempunyai permukaan yang seakan-akan kulit, ada lekuk-lekuk.

Dompet baruku berwarna coklat.

Dompet baruku masih dalam keadaan rapi lagi.

Disebabkan yang tersayang adalah insan yang memberikan dompet ini, maka aku akan menjaganya sebaik mungkin. Setakat ini, aku jarang meletakkan dompet ini di poket belakang, untuk mengelakkannya berubah bentuk jika didudukkan selalu.



Terima kasih awak.

:)

Wednesday, May 16, 2012

Aku seorang pelajar

Salam kepada semua.

Nampaknya sejak kebelakangan ini, kesibukanku semakin menjadi-jadi. Mungkin kerana momentum kuat yang terhasil akibat desakan diri yang cemburu melihat rakan-rakan seperjuangan akan menamatkan pengajian mereka tak lama lagi. Ada beberapa bulan sahaja lagi untuk aku bersama-sama mereka. Selepas ini, aku akan berjuang berseorangan, atau mungkin berjuang bersama rakan-rakan baru dari 'batch' yang berbeza.

Niat di hati nak berkahwin awal, tapi mungkin susah nak dilaksanakan dek kerana kebatasan sumber kewangan. Alangkah indahnya jika fikrah setiap keluarga terutamanya kedua-dua orang tua untuk menerima perkahwinan itu hanya dengan landasan Islam tanpa memikirkan hal-hal yang kononnya "PENTING" itu seperti adat. Mereka hanya fikir 'biar mati anak jangan mati adat'. Di manakah kebenarannya. Oh, lambat lagilah aku nak berumahtangga.

Tak mengapa, fikir positif. :)

Sibuk macam Superman, zassss!

Friday, April 13, 2012

12 April 2012

Salam.

12 April menjelma lagi, kali ini pada tahun 2012. Maknanya, aku telah terlahir di dunia ini selama tempoh 24 tahun mengikut kalendar masihi.

Selamat ulangtahun harijadi yang ke-24 buat diri aku. Sebagai peringatan terhadap aku yang sering lalai dalam menjalankan tugas sebagai khalifah. InsyaAllah. Terima kasih pada mak dan ayah yang membolehkan aku terlahir ke dunia ini. Sayang sangat pada mak dan ayah. :)

Hari yang bermakna ini pasti akan menjadi tidak bermakna jika tidak diisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermakna. Eh? Macam berbelit-belit je ayat aku ni?

Ok, lupakan pasal ayat di atas. Maka, pada hari yang bermakna itulah aku telah keluar bersama yang tersayang melakukan aktiviti bersama-sama. Namun, aku ingin meminta maaf kepada si dia kerana telah menyebabkannya menunggu lama sehingga jam 1:30 tengahari sebelum kami keluar bersama-sama. Ada kelas di pagi hari, dan juga ada 'lab report' yang perlu disiapkan dan dihantar. Maaf ya. :)

Pertamanya, sudah tentu kami ingin mengisi perut yang kelaparan dan berbunyi-bunyi akibat semburan jus gaster ni. Maka, kami telah ke kompleks membeli-belah terdekat iaitu Jusco Bukit Raja. Sampai saja di sana, kami meluru ke panggung wayang untuk membeli tiket wayang bertajuk 'Dark Flight' yang ditayangkan pada jam 2:45 petang. Sebelum menonton wayang, sempat lagi kami mengisi perut yang dah berdentam-dentum bunyinya ni dengan makanan yang sememangnya berdentam-dentum juga harganya. Ok, sebenarnya kami makan di McD saja. Dapat makan Mega Mac, manakala si dia makan ayam goreng McD. Kenyang sungguh.

Di hadapan poster filem tayangan.
Bersama si dia di McD Jusco Bukit Raja.
Dipendekkan cerita, selepas habis menonton wayang, kami bergerak ke Secret Recipe untuk makan kek pula. Biasalah, dah nama pun hari jadi, maka tak lari dari kek dan juga hadiah. Dapat makan kek 'Tiramisu' dan juga 'Pecan Butterscotch'. Paling terkesan sekali bila si dia memberikan aku sekeping kad dan juga hadiah yang terbungkus rapi di dalam kotak. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga seunit dompet bagi menggantikan dompet lamaku yang telah dimakan usia. Terima kasih awak! :)

Kek Secret Recipe : Tiramisu (Coklat) dan Pecan Butterscotch (Kuning).
Selepas maghrib pula, kami bergerak ke Restoran Sani untuk menyantap char kuey teow sebagai hidangan terakhir untuk hari ini. Keseluruhannya, aku sangat gembira kerana si dia sanggup mengambil cuti dan meluangkan masa selama sehari untuk meraikan hari bahagia ini bersamaku.

Si dia yang dah lama tak merasa char kuey teow.
Kegembiraan di wajah masing-masing. :) 

Wednesday, April 4, 2012

Hari Rabu Tanpa Kata-kata #2


Tak sakit, tak sakit, tak sakit. Siapa cakap sakit?
 

Thursday, March 29, 2012

Manusia ke robot ni?

Salam kepada semua.

Selamat petang, semoga anda semua berada dalam keadaan yang rilek dan tenang, jangan berasa tertekan atau yang seangkatan dengannya.

Kali ini, aku nak berkongsi sedikit mengenai video yang aku temukan secara tak sengaja di 'Youtube'. Yang menariknya mengenai video ini adalah teknik orang tersebut melenturkan dan menggerakkan badannya seakan-akan sebuah robot. Tak perlu nak membuang masa lagi, lebih baik anda semua layan video di bawah ni. Selamat menonton. :)

Tuesday, March 20, 2012

Mari berbelanja!

Salam kepada semua.

OK, macam biasa, awal-awal semester ni, memang budak-budak UiTM ni poketnya semua tebal. Aku pun tak terkecuali, cuma dapat tebal sekejap je hari tu. Selepas beberapa hari, dapatlah menebalkan sedikit poket, dan aku gunakannya untuk membeli beberapa barang. Sebentar lagi aku muat naik gambar barang-barang tersebut. Aku rasa semuanya adalah satu keperluan memandangkan beberapa barangan aku telah lusuh terutama sekali seluar jeans aku. :P

Kek 'Chocolate Indulgence' dari Secret Recipe untuk meraikan harijadi yang tersayang.

Sebuah patung yang bersaiz agak besar sebagai hadiah harijadi yang tersayang.

Sebuah beg yang digunakan untuk ke kelas, maklumlah motor dah tiada bakul sekarang ni.

Sandal jenama 'Lee Cooper' untuk menggantikan sandal 'Kronos' yang sudah lusuh (2 tahun penggunaan).

Botol air berjenama 'Bros' untuk diisi dengan air mineral dan dibawa sebagai bekal ke kelas.
Gambar seluar dan baju lupa nak dirakamkan, jadi kena tunggu entri seterusnya baru dapat kemaskini. :)

Akhirnya dapat juga memanfaatkan duit untuk perkara-perkara sebegini. Oh, dan jangan lupa, sementara berduit ni, rajin-rajinlah bersedekah di masjid ataupun di surau. Semoga dapat juga pahala dan dapat membersihkan harta kita dari sebarang unsur-unsur yang tidak baik. InsyaAllah.

Sekarang ni, nak keluar sebentar berjumpa rakan-rakan. Jumpa lagi di entri akan datang. InsyaAllah.

Salam.


*Foster The People - Pumped Up Kicks.

Sunday, March 18, 2012

Selamat ulangtahun kelahiran ke-24

Salam kepada semua.

Maaf kerana blog ini jarang sekali dikemaskini. Dengan adanya beberapa peristiwa yang berlaku sejak kebelakangan ni, baru ada sedikit idea ataupun info untuk diceritakan kepada para pembaca.

Semalam, 17 Mac 2012, genap 24 tahun seorang insan bernama Nur Hazwani Binti Abdul Rashid dilahirkan ke muka bumi ini. Dan sepanjang perkenalan kami selama 2 tahun lebih, sudah 3 kali aku menyambut ulangtahun kelahiran bersama-sama si dia. Dari umurnya 22 tahun sehingga 24 tahun. Tempoh 2 tahun itu nampak seakan singkat, dan seperti semalam baru mengenali si dia.

Awak, selamat ulangtahun kelahiran yang ke-24 tahun. Semoga awak gembira dengan sedikit kejutan dan hadiah yang tak seberapa dari saya tu. Saya tak mampu nak menghadiahkan awak sebuah kereta ataupun sebuah banglo, cukuplah sekadar objek yang boleh dipeluk awak setiap malam semasa tidur. Sebagai ingatan awak terhadap saya setiap kali awak terpandang objek tu.

Hari ini, 18 Mac 2012, awak dah pun berumur 24 tahun dan sehari. Semoga hari esok dan hari-hari mendatang akan lebih baik untuk awak. Semoga dimurahkan rezeki, dan semoga hubungan kita akan berganjak ke satu tahap yang lebih tinggi, dan harap-harap akan terus berkekalan dengan izin dari-Nya. InsyaAllah.

Sekeping kad, sebuah objek yang boleh dipeluk, dan juga sebuah kek. Hanya itu saja yang termampu saya berikan untuk awak setakat ini. Kali ni saya belanja, tak masuk senarai hutang, jangan risau. :)

Mun, Si Dia, Aku.
Si dia bersama keluarga.
Happy 24th Birthday Wanie, From Your Loves.
Inilah dia objek yang boleh dipeluk tu. Muka riang dari wajah si dia.
Terima kasih yang tak terhingga diucapkan kepada yang terlibat, terutamanya Dekna, Munzir, Mak Long, Dekja kerana memberikan komitmen masing-masing dalam menjayakan misi kali ini. Korang semua memang terbaik! Dan tak lupa juga kepada Pak Long yang juga terlibat walaupun secara tidak langsung, hehehe...

Melihat si dia gembira membuatkan hatiku gembira dan puas. Alhamdulillah, segala yang dirancang berjalan lancar walaupun serba kekurangan. Sekarang ni, masa untuk tidur. Kalau tidur lambat nanti kena marah. :P

Selamat malam semua.

Salam.

*Minggu depan ulangtahun harijadi adik kandung pula. Kena cepat-cepat cari hadiah. :)

Tuesday, March 13, 2012

Masa untuk melepaskan

Dulu dia selalu ada bersamaku. Ke mana-mana pasti bersama. Umpama bayang-bayang yang sentiasa mengekori kita.

Kami memang rapat, tapi itu dulu.

Namun dia kian menjauh sejak beberapa tahun ini. Dan pada Jumaat lepas, dia bukan lagi bebas seperti dilu. Dia tidak akan kembali menjadi dirinya yang dulu.

Dia yang ku maksudkan adalah abang sulongku.

Selamat Pengantin Baru Along.

Semoga berbahagia selalu.

Kini bukan lagi seperti dulu, dia ada tanggungjawab yang lebih besar lepas berkahwin.

Saturday, February 11, 2012

Bubur

Salam.

Petang tadi, keluar mengambil mak pulang kerja di depan kilang.

Cari baju untuk majlis kahwin Along di The Store.

Kemudian berakhir di Restoran Nikmat, melayan bubur ayam. Alhamdulillah. :)