Tuesday, April 19, 2011

Hadiah hari jadi

Salam kepada semua.

Ya, memang ulangtahun hari jadi aku pada bulan April ini. Semuanya baik-baik sahaja. Berita gembiranya, aku telah mendapat wang insurans, Alhamdulillah. Setelah 2 tahun setengah, akhirnya dapat juga. Berikut merupakan hadiah kepada diriku. :)

iPhone 4 (16GB)
G-Shock (DW-6900MC-3JF)
Mophie Juice Pack Plus for iPhone 4
Mercedes Benz T-Shirt (From Mak Long)
Itu saja yang ada buat masa ni. Terima kasih semua yang telah bersusah payah menyambut ulangtahun hari jadi aku. :)

Saturday, April 9, 2011

Kembali seperti biasa

Salam kepada semua.

Sudah 4 hari berlalu sejak pemergian arwah nyayi. Setiap kali selepas solat aku pasti akan mendoakan kesejahteraan arwah di alam barzakh. Amin.

Berbalik kepada tajuk, kini semuanya kembali seperti biasa. Aku sudah mula sibuk dengan pelbagai mini projek terutamanya mini projek video Bahasa Jepun. Siang tadi aku berada di luar hampir seharian semata-mata untuk menyiapkan lakonan bagi video ini. Aku dan juga 4 orang lagi ahli kumpulan kami menghabiskan masa hampir 6 jam menyiapkan video tersebut (termasuk waktu makan tengahari). Akhirnya selesai juga lakonan kami. Sekarang ini, yang perlu dilakukan adalah melakukan sedikit pembetulan dan juga menyiapkan buku skrip untuk dihantar sekali dengan video tersebut. Aku bersyukur kerana ahli-ahli kumpulan semuanya menjalankan tanggungjawab masing-masing. Maka, semuanya berjalan dengan lancar. :)

Kemudian, aku perlu juga mengulangkaji subjek 'Dynamics & Vibration' dan juga 'CAD' kerana ada kuiz dan ujian yang akan dijalankan pada hari Isnin dan Selasa depan. Semakin sibuk aku ni, dah macam wakil rakyat pula. Seterusnya, aku perlu menyiapkan mini projek CATIA iaitu 'remote control car'. Wah! Sibuknya aku.

Aku nak buat muka tertekan boleh tak?

Dan, lagi 3 hari saja untuk usiaku genap 23 tahun. Alhamdulillah, sudah hampir 23 tahun aku diberikan peluang untuk menjalani hidup di dunia yang fana ini. Aku rasa sangat bersyukur kerana diberikan peluang ini. Semoga dengan peningkatan umur nanti akan setara dengan peningkatan amalan. InsyaAllah.

Jadi sekarang ni, aku akan sentiasa berfikiran positif. :)

'Once you replace negative thoughts with positive ones, you'll start having positive results.'

Wednesday, April 6, 2011

Perasaan kehilangan itu sangat menyakitkan

Salam kepada semua.

19 April 1923 - 05 April 2011
02 Ramadhan 1341H - 01 Jamadil Awal 1432H

Aku mendapat panggilan telefon dari emak semasa waktu kelas, hati ini jadi tak keruan. Apa yang disangka akan terjadi telah berlaku.

Arwah telah meninggalkan kami untuk selama-lamanya pada usia 88 tahun. Perasaan kehilangan ini sangat menyakitkan hati. Hati serba pilu dan sebak.

Semasa hayatnya, arwah adalah satu-satunya nenekku yang masih hidup. Kini, aku sudah tidak mempunyai datuk dan nenek di kedua-dua belah keluarga.

Masih terkenang-kenang lagi waktu aku ingin pulang ke Shah Alam pada hari Ahad lepas, aku sempat mencium kedua-dua pipi dan juga dahi arwah. Ketika itu, bergenang air mata menahan kesedihan melihatnya terlantar. Itu kali terakhir aku mendengar suaranya menyahut panggilanku. Tapi seruanku itu tidak sekuat seruan Allah S.W.T. memanggilnya ke alam barzakh.

Itu satu-satunya jalan terbaik bagi arwah, kami yang hidup berasa seksa melihatnya terlantar lemah, tidak makan, hanya minum, masakan boleh tahan lama lagi? Semoga dengan kembalinya arwah ke Rahmatullah ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan seksa arwah di dunia. Kami yang masih hidup akan sentiasa mendoakannya.

Sesudahnya kelas semalam, aku pulang ke rumah dan tekad meminjam motor rakan serumah untuk pulang ke Simpang Renggam. Kemudian, plan berubah dan aku ke Sungai Besi untuk menaiki kereta bersama abang saudaraku. Kami bertolak pada sekitar jam 03:00 petang dan tiba di perkarangan surau tempat jenazah di sembahyangkan pada jam 05:15 petang. Aku terkilan kerana tak sempat melaksanakan tanggungjawab sebagai cucu dengan bersama-sama bersolat jenazah. Namun, aku dapat mengiringi van jenazah ke tanah perkuburan. Selesai menanam jenazah, kami beramai-ramai membaca talkin dan mendoakan jenazah. Setelah selesai dan orang ramai pulang ke rumah, aku melihat Pak Usu aku duduk di pusara arwah. Ku lihat Pak Usu menangis seolah-olah tak dapat menerima pemergian arwah. Kemudian, mataku turut bergenang air mata melihat keadaan itu. Sesungguhnya, perit sungguh perasaan kehilangan ini, orang yang paling disayangi hilang di pandangan mata kasar.

Malam itu, majlis tahlil diadakan di rumah Mak Ngah di Simpang Renggam. Kemudian, perbincangan di antara adik-beradik emak. Selesai semua itu, aku berangkat pulang ke Sungai Besi, dan tiba di Shah Alam pada jam 05:30 pagi dengan menaiki motor. Sempat juga aku membaca surah Yassiin selepas solat Subuh. Semoga arwah menerima pahala dari bacaanku. Semoga roh nya aman di sana.

Gambar bersama arwah nyayi pada bulan Jun tahun 2010. Kenangan bersamanya.
Pusara arwah nyayi.