Tuesday, July 24, 2012

Salam Ramadhan 1433H

Assalamualaikum pembuka bicara.

Alhamdulillah, ada sedikit kelapangan di pagi ini sebelum sibuk di petang hari.

Hari ini hari ke-empat kita berpuasa di Bulan Ramadhan 1433H. Pagi yang tenang.

Ramadhan kali ini sedikit berbeza. Hari-hariku lebih produktif berbanding Ramadhan yang telah berlalu.

Di Ramadhan kali ini, aku mengambil peluang untuk berniaga menjual air buah di Bazar Ramadhan. Aku menjalankan perniagaan bersama seorang lagi sahabatku yang banyak membantu dalam urusan penyediaan air. Berniaga di bawah cahaya panas terik mentari dan di bulan puasa ini betul-betul menguji keimanan diri. Tekak menjadi haus. Peluh keringat membasahi badan menyebabkan badan kehilangan air yang banyak.

Namun itu semua harus diharungi demi mencari rezeki ini. Dan insyaAllah aku akan berterusan menguatkan keimanan dalam diri ini menghadapi dugaan-dugaan ini. Baru terasa kemanisannya menjalankan tanggungjawab berserta sedikit cabaran. Dan begitu juga terasa indah kemanisan iman itu. :)

Sebelum terlewat, aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak, dan Selamat Berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang lebih baik dari sebelumnya, insyaAllah.

*Tiba-tiba rindu dengan ukhwah persahabatn dengan rakan-rakan JAD.

Wednesday, July 11, 2012

Menjadi diriku

Salam kepada semua.

Tak ramai orang dalam dunia ini yang suka menjadi diri mereka. Kebanyakan mereka adalah acuan dari pelbagai pengalaman hidup. Aku juga begitu. Tetapi aku yakin acuan yang aku terima ini lebih banyak kebaikannya dari keburukannya.

Terlintas di fikiranku tentang kedua-dua orang tua ku. Aku tak pernah langsung mengucapkan selamat hari bapa dan selamat hari ibu kepada mereka. Dan aku juga yakin yang aku tak akan menyebutnya sampai bila-bila pun. Aku menyayangi mereka bukan hanya pada satu hari yang ditetapkan dalam kalender setiap tahun itu. Paling tidak pun, aku akan mengucapkan selamat hari lahir di ulangtahun kelahiran mereka.

Ayahku lahir pada 10 Januari, manakala emak pula lahir pada 5 Ogos.

Aku harap dengan sikapku yang sedemikian akan membentuk aku menjadi seseorang yang lebih kental dan tekad dalam setiap keputusanku. Semoga aku sentiasa berada di landasan yang betul dan ditetapkan hatiku. Aku harap dapat sentiasa menjadi diriku.

Aku pun tak tahu kenapa boleh terfikir untuk membuat entri begini. Jadi, anggaplah ini semua hanya sekadar luahan spontan dari pemikiranku.

Saya sayang mak dan ayah. :)

Ayah & Mak


 *Melly Goeslow & Andhika Pratama - Butterfly.