Tuesday, November 30, 2010

Sudah 24 tahun

Salam kepada semua.

Hari ini merupakan hari bersejarah, bukan padaku, tetapi pada insan lain. Abang aku kini sudah genap 24 tahun dilahirkan ke muka bumi ini. Sudah tentu aku tiada semasa orang lain sibuk menyambut kelahirannya. Faham-faham lah ya. :)

Tanggal 30 November 1986, dia dilahirkan. Hari ini, 30 November 2010, sudah 24 tahun. Syukur kerana Allah masih memberikan peluang kepadanya untuk terus meneruskan kehidupan di dunia ini.
Ramai orang yang sayangkan adik-beradik mereka, tapi tidak berani meluahkan secara depan, kerana perasaan malu. Tapi aku tidak, aku tidak peduli apa orang lain cakap. Memang aku 'langsi' sedikit kalau bab-bab adik-beradik. Kasih sayang aku tidak kenal tempat (bagi keluarga sahaja). Aku cakap sayang, maknanya aku maksudkan lah tu.

Kami dibesarkan secara bersama oleh kedua orang tua kami. Kami membesar secara adil, maknanya, apa sahaja yang Along dapat, mak dan ayah akan membelikan benda yang sama untuk aku. Begitu juga sebaliknya. Jadi, tidak wujud unsur cemburu. Along juga sering melindungiku ketika aku masih kecil. Dia memang abang yang baik.
Kecil-kecil dahulu, aku pernah mencuri duit tabungan Along. Tapi itu dulu, sekarang aku sudah boleh berfikir yang mana baik dan buruk. Along juga tak pernah berkira sangat dengan aku. Dia sedar, dia ada tanggungjawab untuk membantu menyara adik-beradik yang masih lagi belajar, termasuk aku. Dia senang, dia tolong aku. Bila-bila aku sudah senang, aku akan bantu dia. Saling menolong jika susah.
Aku tiada hadiah lagi untuk diberi kepada Along. Mungkin 1 hari nanti aku akan memberikannya hadiah, siapa tahu kan? InsyaAllah.

Kepada Along, selamat menyambut ulangtahun yang ke-24. Semoga kau lulus peperiksaan akhir pada hari ini. Semoga cepat juga kau naik pangkat. Aku ada di saat kau memerlukan. Jika aku boleh tolong, aku akan tolong.

Ingat Along, air dicincang tak akan putus. :)


*Satu-satunya abang aku dunia akhirat.

Sunday, November 28, 2010

27 November 2010

Salam kepada semua.

Tarikh ini, pada 2 tahun yang lepas, aku baru saja keluar dari Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR). Anda tahu apa maksudnya. :)

Tahun ini, lain kisahnya. Bukan bertempat di HTAR lagi, tapi sekitar Kuala Lumpur. :)

*Dell Inspiron 14R
*Dell Inspiron Mini 10
*Western Digital Elements SE (500GB)
*Kingston Data Traveler Generation 3 (4GB)
*Apple iPod Shuffle (2GB)

Gembira sangat sehingga lupa daratan. Duit habis sekitar RM3800 hanya untuk gajet-gajet ini. Dahsyat betul. Kena beringat-ingat ni. Hmm...

Plan sebenar adalah untuk membeli Apple Macbook, tapi lain pula jadinya. Harga Apple Macbook adalah RM3299, aku boleh mendapat 2 buah komputer riba dengan harga ini, sebab itu aku mengubah fikiran di akhir-akhir waktu.

Apa-apa pun, bersyukur.

*Menunggu The Kube. :)

Wednesday, November 24, 2010

Genap 2 tahun

Salam kepada semua.


Hari ini, tanggal 24 November 2010, sudah genap 2 tahun peristiwa itu berlaku. Disebabkan peristiwa itulah aku menjadi seperti ini sekarang. Tapi aku tak menyalahkan takdir, kerana setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Perasaan kecewa itu ada, namun perasaan itu tenggelam sama sekali jika dibandingkan dengan rasa kesyukuran aku kerana diberikan peluang untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba-Nya di dunia ini.


Hari ini, 2 tahun yang lepas, aku sedang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung setelah pulang dari kem kepimpinan yang dilangsungkan di Pulau Pangkor. Cuti semester juga telah bermula pada masa itu. Seperti biasa, aku pulang ke kampung dengan menunggang motosikal. Sebelum pulang, aku singgah di rumah kawan aku untuk menuntut hutang berjumlah RM1000. Malangnya, dia tiada di rumah, atau sedang melarikan diri dari aku supaya aku tidak dapat menuntut hutang tersebut. Kemudian, aku ingin bergerak ke Seksyen 25 iaitu di kawasan Seri Muda, Shah Alam dengan tujuan untuk mengetatkan rantai motor yang kendur. Di lampu insyarat berdekatan masjid Shah Alam, aku telah dihimpit oleh sebuah kenderaan iaitu Honda CRV yang telah menyebabkan aku terpelanting dan terbaring di jalan. Semuanya jadi gelap,aku mengalami pitam buat sementara sebelum mataku terbuka kembali. Aku selamat, tapi aku sukar untuk bernafas disebabkan terhempap di sebelah kanan rusuk badan. Mujur aku memakai helmet jenama ARC yang materialnya di buat daripada fiber yang tahan hentakan. Jika aku memakai helmet MS88 pada ketika itu, mungkin aku sudah jadi gila akibat hentakan yang kuat ke jalan tar. Helmet itu mungkin juga akan terbelah 2. Aku cuba menggerakkan kaki. Kaki kiriku boleh diangkat dan digerakkan. Tetapi, yang sebaliknya terjadi pada kaki kananku. Pehaku tidak boleh diangkat. Aku sudah menjangkakan yang pehaku telah patah lantas menolak segala pelawaan orang ramai untuk menumpangkan aku ke hospital. Keadaan akan jadi lebih parah jika dilakukan oleh amatur. Aku terbaring di bawah terik matahari menunggu ketibaan ambulans. Aku berterima kasih kepada orang ramai kerana sanggup menemani aku dan memberikan perlindungan dari panas mentari dengan menutup cahaya panas memamah tubuhku yang kaku. Walaupun aku tidak kenal mereka, namun mereka sangat bertanggungjawab. Alhamdulillah.


Kini, aku di sini, masih boleh berdiri. Hikmah di sebalik semua ini, aku mungkin akan menang kes saman, dan dengan ini aku boleh menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembelajaran dan juga membantu keluarga.


Hidup ini banyak cabaran. Hadapinya, dan jangan lari dari kenyataan. Setiap yang terjadi adalah bertujuan untuk mendidik kita dalam mengharungi ranjau hidup yang mencabar ini.


:)

Thursday, November 18, 2010

Kemaskini Kes Mahkamah

Salam kepada semua.


Alhamdulillah, kini aku tidak perlu lagi naik turun mahkamah untuk menyelesaikan kes yang mengambil masa 2 tahun ini. Dari mula aku ditimpa kemalangan sehingga kini, baru aku dapat merasakan lapang sedikit. Kepala aku tidak perlu berserabut memikirkan kes yang tak selesai-selesai ini. Apa sahaja perkara yang aku tak puas hati sebelum ini telah pun terlerai. Liabiliti kes aku adalah 85% : 15%. Ini bermakna aku tidak bersalah di dalam perlanggaran tersebut. Dan paling nyata, aku tidak seharusnya mempunyai kesalahan jalan raya ketika perlanggaran, tidak walaupun 1%. Tetapi mengikut undang-undang, aku juga menyumbang 15% kesalahan.


Ok, tidak perlu dilanjutkan lagi. Aku telah menang kes ini. Syukur. Hanya menunggu masa untuk menerima pengesahan amaun yang di terima.


Alhamdulillah, syukur.

*Macam-macam rancangan telah difikirkan. :D

Tuesday, November 9, 2010

Perancangan masa cuti

Salam kepada semua.

Sebulan bertapa, cukup lama bagiku. Peperiksaan akhir semester juga telah berlalu, ada yang susah, ada yang sederhana dan tiada yang senang. Biasalah, nama pun belajar, semestinya ada susah dan senang. Untuk peperiksaan kali ini, aku habis awal, iaitu pada 02 November 2010. Peperiksaan aku bermula pada 25 Oktober 2010, sangat awal jika dibandingkan dengan rakan-rakan lain. Jarak di antara setiap subjek pula adalah sangat pendek, maka mengulangkaji lah aku dalam kegelabahan walaupun tak gelabah sangat. :P

Habis pada cerita peperiksaan akhir, kita bertukar kepada perancangan semasa cuti. Kadang-kadang cuti boleh jadi seronok, kadang-kadang boleh bertukar menjadi bosan. Disebabkan itu, aku telah memenuhkan cuti pada bulan November ini, dan mungkin akan memenuhkan juga jadual bulan Disember nanti. Berikut adalah draf-draf perancangan aku.

11.11.2010 - Perjumpaan dengan peguam bagi membincangkan beberapa perkara sebelum aku memberi keterangan di mahkamah.

12.11.2010 - Aku perlu hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung kes langgar sebelum ini.

13/14/15/16.11.2010 - Mungkin aku akan pulang ke Batu Pahat dengan menaiki motor, tarikh belum ditentukan, pilih antara 4 tarikh ini. Masih keliru.

17.11.2010 - Meraikan Hari Raya Haji di kampung bersama keluarga, walaupun Along menyatakan tidak akan pulang kerana mendapat cuti cuma sehari sahaja.

20&21.11.2010 - Menjadi pengapit bagi majlis raja sehari rakanku.

27&28.11.2010 - Menghadiri 'Meeting of Styles KL Malaysia 2010' di Sungai Klang/Pasar Seni.

Itu saja jadual bagi bulan November, jadual bulan Disember bakal dibuat. Terfikir untuk mencari kerja sambilan. Rasa-rasanya aku dah cukup sihat untuk mendapatkan kerja. Kalau dulu tu, ada alasan lagi, kerana kaki aku yang belum cukup kuat, dan masih lagi berjalan menggunakan tongkat. Sekarang sudah lebih sihat. Kita akan lihat apa perancangan seterusnya.

Pada 29 November pula, aku akan menyaksikan seseorang memulakan latihan praktikalnya di pejabat MARA, Jalan Raja Laut. Semoga awak dapat menjalani praktikal dengan lancar. :D


*Kenangan 2009

*♫ - Digitalism - Magnets (La Mode's Remix)